Geran Strata dan Pindahmilik
Utusan Malaysia (29 Januari 2024)
1. Sebahagian besar unit perumahan di Bandar Sri Permaisuri (BSP) (lokasi di mana pejabat kami beroperasi) telah diberikan surat hak milik atau lebih dikenali sebagai GERAN.
2. Terdapat kemungkinan bahawa masih ada yang belum melengkapkan proses untuk memasukkan namanya ke dalam GERAN WALAUPUN pihak pemaju telah memberi maklum bahawa ia telah diterbitkan, disebabkan oleh isu kos guaman dan duti setem.
3. Adalah penting untuk mempercepatkan proses ini untuk memudahkan transaksi jual beli, pemindahan milik kepada pemilik yang dipilih, untuk pemberian hibah, refinance, atau perkara berkaitan pusaka/wasiat.
4. Hampir semua unit kediaman di BSP ini adalah milik pajakan 99 tahun dan juga tertakluk kepada apa yang dikenali sebagai “sekatan kepentingan”.
5. Sekatan ini bermakna mana-mana pemindahan milik atau gadaian tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri.
6. Dalam konteks penjualan, kelulusan pemindahan milik yang sering disebut sebagai “consent” perlu diperolehi.
7. Biasanya, permohonan ini dilakukan melalui atau dengan bantuan peguam, dengan penjual yang bertanggungjawab untuk memohon.
8. Dalam transaksi jual beli yang tertakluk kepada kelulusan pemindahan milik, Perjanjian Jual Beli yang ditandatangani adalah berupa perjanjian bersyarat, di mana syaratnya adalah bahawa perjanjian tersebut hanya berkuat kuasa selepas consent diperolehi.
9. Tempoh pembayaran harga jual beli adalah selama 3 bulan dari tarikh consent diperolehi, dengan tambahan masa selama 1 bulan.
10. Biasanya, kelulusan di Wilayah Persekutuan boleh diperolehi dalam tempoh 2-4 minggu (tertakluk), khususnya untuk penjualan dari bumiputera kepada pembeli bumiputera.
11. Untuk menjual, strata yang menyatakan nama penjual perlu didaftarkan, dan semua cukai tanah dan cukai pintu harus dibayar sepenuhnya. Caj perkhidmatan yang tertunggak kepada JMB/MC juga perlu dibayar kepada JMB/MC.
12. Bagi pemilikan yang melebihi 5 tahun, cukai keuntungan hartanah (CKHT) adalah dikecualikan, tetapi borang berkaitan masih perlu dikemukakan kepada LHDN bahagian CKHT.